KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Singapura selama tiga hari bermula hari ini sehingga 12 Julai.

Dalam satu kenyataan media, lawatan rasmi tersebut atas undangan Menteri Ehwal Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, dan akan ditemani isteri Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam serta pegawai istana dan pemimpin negeri Johor.

"Dalam lawatan ini, Perdana Menteri Singapura, Datuk Lee Hsien Loong dan Datin Paduka Ho Ching akan menjadi tuan rumah kepada baginda dan Che' Puan Besar Khaleeda untuk sesi minum teh.

"Manakala, Vivian dan isterinya akan menjadi hos bagi jamuan makan malam sebagai memberi penghormatan kepada pasangan diraja. Baginda juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura dan Menteri Kewangan, Lawrence Wong," demikian menurut kenyataan media tersebut, hari ini.

Dalam lawatan rasmi tersebut juga, Tunku Ismail akan diiringi oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Singapura, Zaqy Mohamad dalam lawatan ke Kem Komando Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Selain itu, Menteri Negara (Pendidikan), Gan Siow Huang akan mengiringi baginda mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kuo Chuan Presbyterian.

"Baginda akan turut diiringi oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Edwin Tong bagi menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Bola Sepak Johor dan Persatuan Bola Sepak Singapura.

"Ini melibatkan kerjasama dalam pembangunan bola sepak termasuk pembentukan kejohanan acara bola sepak tahunan antara pasukan Pilihan Johor dan Pilihan Singapura mulai 2024," tambah kenyataan itu.